PETALING JAYA – Khabar gembira yang ditunggu-tunggu, namun berita duka pula yang diterima.
Demikian ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan perasaan rakyat Malaysia setelah menerima perkhabaran Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, yang meninggal dunia selepas termakan jajan bercampur racun tikus pagi tadi.
Menerusi ruangan komen di Instagram Kosmo!, orang ramai meluahkan rasa sedih dengan kehilangan kanak-kanak berusia tiga tahun itu yang dipercayai berpunca daripada kecuaian orang lain.
“Sebak hati aku, aku tunggu berita (tentang) kedua beradik ini. Hari ini, salah seorang Allah sudah jemput balik, syurga tempat mu dik. Semoga diberi ketabahan buat ahli keluarga,” kata @zam_hadi11.
“Sedih meruntun jiwa saya. Anak kecil tiada dosa. Bermainlah kamu di taman Syurga nak. Semoga menjadi asbab yang ‘menarik’ kedua ibu dan ayah ke Syurga nanti,” komen @shuhana_nadri.
“Terlampau berat untuk ditanggung ibu ayah, hanya syurga buatmu anak. Bermain-main di syurga, tiada lagi kesakitan yang harus dirasai di dunia. Semoga diberi kesembuhan buat seorang lagi adiknya,” kata @sitinuryuyu pula.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kritikal selepas termakan makanan ringan yang dicampur racun tikus di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim pada 7 Julai.
Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, dikatakan termakan makanan itu pada Ahad lalu. Muhammad Akil Syauqi bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi tadi.
Kanak-kanak itu meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE