PETALING JAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan jumlah penganggur pada Mei 2024 menurun kepada 566,100 orang berbanding 566,400 orang pada bulan sebelumnya, dengan kadar pengangguran kekal 3.3 peratus.
Situasi tersebut sekali gus menunjukkan seramai 300 penganggur berjaya memiliki pekerjaan dalam tempoh sebulan lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang optimis pada Mei lalu membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.
Katanya, bilangan tenaga buruh pada bulan dikaji terus mengukuh sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.15 juta orang berbanding April (17.12 juta orang) manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3 peratus, seperti yang direkodkan bulan sebelumnya.
Tambah Mohd. Uzir, bilangan penduduk bekerja pada Mei juga kekal dalam trend positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.58 juta orang berbanding 16.56 juta orang pada April 2024.
“Kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.44 juta orang. Begitu juga, kategori penduduk bekerja sendiri terus berada pada trend menaik, dengan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada 3.05 juta orang.
“Dari segi sektor ekonomi pula, hampir dua pertiga penduduk bekerja yang tertumpu dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman dan maklumat dan komunikasi.
“Sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga merekodkan pertambahan dalam guna tenaga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif merangkumi 79.9 peratus daripada jumlah penganggur.
Jelasnya, kategori itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 452,000 orang berbanding April 2024 pada 451,400 orang.
“Bagi tempoh pengangguran bagi penganggur aktif pula, 61.5 peratus adalah merupakan mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.8 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
“Manakala, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia turun sebanyak 0.8 peratus kepada 114,000 orang daripada 115,000 orang bulan sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Uzir mendedahkan kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.5 peratus pada Mei 2024, merekodkan 305,600 penganggur belia, berbanding 305,900 orang pada April.
“Bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal tidak berubah iaitu pada 6.5 peratus, dengan 434,600 orang berbanding bulan sebelumnya 434,900 orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE