fbpx

252 kertas siasatan dibuka babit penipuan umrah – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 252 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes penipuan umrah dari 2019 hingga Mei 2024 melibatkan kerugian bernilai RM9.81 juta.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, tuntutan tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan berjumlah tidak melebihi RM50,000 dalam masa tiga tahun adalah di bawah bidang kuasa tribunal tuntutan pengguna (TTPM) .

“Seperti mana diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], berdasarkan statistik dari 2019 hingga Mei 2024, TTPM mencatatkan 1,549 kes dengan jumlah tuntutan RM29.58 juta dan award RM16.37 juta.

“Bagi tahun 2023 hingga Mei 2024, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) telah menerima sebanyak 349 aduan penipuan umrah dengan kerugian sebanyak RM14.09 juta.

“MOTAC telah menasihatkan pengadu untuk membuat tuntutan dengan TTPM bagi tebus rugi dan membuat laporan polis bagi kes penipuan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) tentang jumlah kes penipuan umrah dan haji sejak 2019 sehingga 2024 dan tindakan ke atas agensi pengendali umrah yang menipu para jemaah.

Sementara itu beliau memaklumkan, MOTAC juga akan memperkenalkan kriteria baharu bagi syarikat pengendali ibadah umrah.

Jelas beliau, ia perlu bagi memantau aktiviti promosi ibadah umrah yang dilihat tidak munasabah dari segi harga yang dikenakan kepada pengguna.

“Kriteria baharu kita akan umum pada Ogos ini meliputi semua aspek supaya tidak lagi berlaku kes yang tidak memuaskan hati para jemaah umrah di masa akan datang.

“MOTAC juga tiada perancangan untuk mengendalikan ibadah haji daripada Tabung Haji (TH) kerana ia dalam bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta dinyatakan pendirian MOTAC terhadap syarikat pengendali ibadah umrah yang menawarkan pakej pada harga tidak munasabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI