PETALING JAYA – Ingin melihat pengakhiran bahagia, pelakon Zarina Zainuddin berdoa agar penyanyi Adira Suhaimi dan bekas suaminya, Datuk Red kembali rujuk.
Perkara tersebut disuarakan Zarina yang berpendapat, Datuk Red sahaja lelaki yang sudah memahami selain pernah melalui pahit manis kehidupan bersama Adira sebelum ini.
“Akak doakan kau rujuk balik dengan bekas suami, amin. Duit cari bersama, susah dan senang pun sama-sama.
“Dia sahaja yang faham kau walau sebenarnya dia buat-buat tak faham,” katanya dalam ruangan komen sebuah hantaran Instagram.
Dalam hantaran sama, dia juga bersetuju dengan pendapat Adira sebelum ini yang menganggap berkenalan dengan lelaki pada usianya ketika ini adalah perkara buang masa.
“Iyalah, kita sudah ada anak, lelaki lain nak kita pun buat apa? Lebih baik cari orang yang betul-betul anak kita sayang, tak perlu paksa terima orang baru.
“Kalau sudah memang bapa sendiri, mestilah sayang. Bercinta ketika masa mula-mula dulu, sekarang apabila sudah ada anak, kita lebih fikir perasaan mereka.
“Budak-budak itu perlukan bapa mereka bukan lelaki lain dan akan rasa orang lain menyibuk. Melainkan anak-anak itu sudah besar sebab mereka pasti tak kisah, asalkan ibu mereka gembira,” katanya lagi.
Terdahulu, Adira atau Siti Adira Suhaimi, 33, menerusi sebuah video tular bertegas sudah muak untuk berkenalan dengan orang baharu. Baginya perkara tersebut hanyalah membazir.
Dalam video sama, pelantun lagu Ku Ada Kamu yang bersiaran langsung bersama Datuk Red memberitahu dia malas mahu memperkenalkan serba-serbi kehidupannya.
Pada 23 April lalu, penyanyi asal Sabah itu sah bercerai talak satu dengan Datuk Red dan tidak menuntut sebarang nafkah idah dan mutaah kerana memahami kewangan bekas suami.
Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob, yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE