fbpx

Tohtonku sumbang RM1 juta sempena ulang tahun ke-60

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIM (tengah) memegang replika cek sumbangan bernilai RM1 juta untuk agihan barangan keperluan buat komuniti kurang bernasib baik sempena sambutan ulang tahun syarikat di Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Tohtonku Sdn. Bhd. (Tohtonku) menyumbang produk asas penjagaan kebersihan diri jenama Follow Me bernilai RM1 juta buat kumpulan memerlukan bersempena sambutan ulang tahun syarikat kali ke-60 tahun ini.

Ia sebagai usaha untuk meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial syarikat dengan menyumbang semula kepada komuniti dan menyampaikan tanda penghargaan serta terima kasih buat pelanggan yang telah lama menyokong sejak penubuhannya pada 1964.

Sumbangan itu akan diberikan kepada Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih dan organisasi bukan kerajaan se­perti Doctors Without Borders, Medecins Sans Frontieres (MSF) dan Yayasan SOL.

Pengarah Eksekutif Tohtonku, Jasper Lim berkata, pihaknya akan mengedarkan produk Follow Me yang terdiri daripada berus gigi, cecair pembasmi kuman, pelembap, pencuci, mandian badan dan syampu kepada kira-kira 13,000 individu daripada golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada komuniti B40 termasuk Orang Asli, orang kurang upaya dan anak-anak yatim,” katanya pada sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, Tohtonku telah mengedarkan sumbangan kepada kumpulan pertama pene­rima yang terdiri daripada penduduk PPR Taman Wahyu 2, PPR Seri Semarak dan Yayasan SOL pada Jun lalu yang memberi manfaat kepada seramai 6,300 individu.

Sumbangan seterusnya akan diedarkan untuk komuniti B40 di kawasan Sungai Besi, Keramat Permai serta Bandar Kinrara.

Tohtonku turut bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan amal seperti Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Community at Heart, Rumah Raudhatul al-Fareez dan Pertubuhan Rumah Kebajikan Kanak-kanak Home of Peace bagi melancarkan peng­agihan produk kepada komuniti memerlukan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI