fbpx

K2

Sumbang RM200,000 usaha pemuliharaan hutan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak UNIQLO menyampaikan sumbangan kepada Ismail (dua dari kiri) di FRIM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PELAKSANAAN pelbagai projek pemuliharaan hutan berperanan penting dalam melindungi kepelbagaian biodiversiti di negara ini.

Oleh sebab itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh sektor awam dan juga swasta yang bekerjasama secara berkesan dalam menjalankan program-program bagi melindungi sebanyak mungkin hutan kita.

Sebagai mengukuhkan komitmen dalam pemuliharaan alam sekitar, syarikat peruncit pakaian global, UNIQLO baru-baru ini menyumbangkan dana berjumlah RM200,000 kepada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi menyokong program pemuliharaan hutan-hutan di negara ini.

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada hasil yang dikutip syarikat itu yang diperoleh menerusi pembelian beg membeli-belah kertas UNIQLO.

Sumbangan diserahkan baru-baru ini di Muzium dan Galeri Penyelidikan FRIM, Kuala Lumpur.

Pengarah Undang-undang, Kelestarian dan Perhubungan Awam Korporat UNIQLO Malaysia, Evelyn Tan berkata, sebagai ahli komuniti, mereka berasa bertanggungjawab untuk membantu memelihara dan melindungi kawasan hijau tempatan.

“Dengan kerjasama FRIM, sumbangan ini antaranya akan membiayai pelbagai inisiatif, termasuk inventori pokok dan pemetaan, aktiviti pemantauan dan penyelenggaraan.

“Kami berbesar hati untuk mengembangkan usaha pemuliharaan hutan dengan kerjasama FRIM, bertujuan untuk meningkatkan inisiatif pemuliharaan mereka dan meningkatkan kesedaran tentang keperluan kritikal untuk melindungi hutan kita,” katanya.

Pemuliharaan hutan penting bagi mengelak kepupusan flora dan fauna.

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM, Dr. Ismail Parlan pula berkata, pihaknya berterima kasih atas sokongan UNIQLO terhadap usaha pemuliharaan dan komitmen dalam mempromosikan kesedaran mengenai alam sekitar.

“Kerjasama itu membolehkan kami terus memulihara dan memelihara pokok di tapak-tapak projek kami, di samping memudahkan aktiviti penglibatan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan,” katanya.

Jelasnya, dana yang disumbang itu antara lain akan digunakan untuk projek inventori dan pemetaan pokok oleh FRIM bagi menilai stok karbon dan komposisi spesies pokok-pokok dengan garis pusat lebih daripada 10 sentimeter melalui pemetaan dan pengukuran yang komprehensif.

Sejak 2020, UNIQLO telah memperkenalkan beg beli-belah kertas yang sumbernya dituai secara bertanggungjawab dan diperakui oleh Majlis Pengawasan Hutan (FSC).

Setiap pembelian beg kertas tersebut dicaj 30 sen sejajar dengan langkah kemampanan peruncit dalam mengurangkan penggunaan bahan plastik sekali guna dalam operasinya.

Selain kerjasama dengan FRIM, UNIQLO juga sebelum ini telah menunjukkan komitmennya untuk memelihara kawasan hijau menerusi sumbangan kepada taman hutan tempatan iaitu Taman Tugu.

Label itu juga akan terus meneroka penyelesaian dan perkongsian untuk terus menyokong pemuliharaan hutan dengan inisiatif perlindungan alam sekitar di Malaysia dan di peringkat global, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk melestarikan lagi alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI