PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan penyiasatan berhubung isu Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
SPRM dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu dimulakan dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara daripada Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp. hari ini.
“Hasil analisis awal mendapati 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Audit tersebut.
“Namun begitu, fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah (criminality) yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya hari ini.
SPRM berkata, pihaknya juga tidak akan menumpukan siasatan terhadap isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan.
“Hal ini kerana perkara tersebut telah pun dijelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp. sewaktu Exit Conference dengan Jabatan Audit Negara sebelum ini.
“SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa yang mencukupi bagi proses siasatan ini dilaksanakan tanpa sebarang gangguan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE