JOHOR BAHRU – Sindiket pemerdagangan manusia mengaut untung dengan mengeksploitasi pengemis warga asing yang kurang upaya untuk mengemis di bandar raya ini.
Dua pengemis yang diterbangkan dari luar negara itu mampu meraih kutipan sehingga RM8,000 sebulan setiap seorang apabila meraih simpati orang ramai dengan imej compang-camping dan berkerusi roda sambil menyanyi menggunakan pembesar suara.
Kegiatan sindiket itu yang dipercayai beroperasi sejak April lalu tumpas setelah sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan serbuan di lokasi berasingan 13 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 42 hingga 53 tahun yang berperanan sebagai transporter.
Katanya, dalam serbuan sama, polis turut menyelamatkan dua lelaki orang kelainan upaya (OKU) warga asing berusia 44 dan 50 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan orang sindiket tersebut.
“Siasatan lanjut yang dijalankan membawa kepada kejayaan penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan penjaga kepada OKU warga asing dalam serbuan di sebuah pangsapuri di bandar raya ini pada 19 Jun lalu.
“Modus operandi sindiket itu adalah dengan mengeksploitasi pengemis OKU yang menggunakan kerusi roda bagi meraih simpati orang ramai dengan meminta sedekah sambil menyanyi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam serbuan yang dilakukan, polis merampas tiga unit telefon bimbit, tiga buah kereta import, sebuah mikrofon dan pembesar suara serta wang tunai berjumlah RM1,859.
Menurut Kumar, sindiket ini ‘terbang’ ke luar negara bagi mencari individu yang mempunyai kecacatan kekal dan berstatus OKU bagi menjalankan kerja mengemis di lokasi tumpuan seperti pasar malam, restoran dan medan selera.-KOSMO! ONLINE