KUALA LUMPUR – Sabah menjadi negeri terbaharu memberi maklum balas kepada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung pelawaan untuk turut serta bagi menjayakan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 nanti.
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub menjelaskan, setakat ini sudah ada tiga negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang yang memberikan respons, manakala beberapa negeri belum memberikan kata putus.
Sebelum ini, Sarawak memasang hasrat menjadi tuan rumah bersama bagi menjayakan sukan dwitahunan itu, manakala Pulau Pinang difahamkan menawarkan diri untuk menjadi venue kepada beberapa jenis sukan.
Bagaimanapun, setakat ini tidak diketahui pendirian Sabah berhubung penganjuran Sukan SEA 2027 memandangkan butiran maklum balas yang diberikan kepada MSN tidak didedahkan.
“Setakat ini seperti yang dimaklumkan YB (Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh). Pulau Pinang dan Sarawak memang pasti (berminat). Paling baharu adalah Sabah sementara urus setia juga sedang mengemas kini daripada negeri-negeri (lain).
“Kita masih lagi menunggu maklum balas daripada negeri-negeri yang berkemungkinan ada keinginan untuk bersama-sama menjadi penganjur kepada beberapa acara sukan tertentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara MSN dan syarikat air mineral, Bubbles 02 Sdn. Bhd. yang turut disaksikan oleh Hannah Yeoh.
Sementara itu, Rashid turut menjangkakan negeri-negeri lain akan mula memberi maklum balas berhubung pelawaan tersebut minggu ini selepas tarikh akhir yang sepatutnya tamat pada Jumaat lalu dilanjutkan.
“Sepatutnya tarikh akhir itu adalah pada Jumaat lalu tetapi kita sedang mengemas kini kerana ada sebahagian negeri masih belum memutuskan perkara tersebut, jadi kita tunggu sekejap.
“Kita sekarang sedang menyediakan segala bentuk maklumat serta perincian dari segi jenis sukan dan di mana akan diadakan. Semua perincian ini sedang disediakan dan diangkat ke mesyuarat Jemaah Menteri,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE