LAHORE, PAKISTAN – Kerajaan wilayah terbesar di Pakistan, Punjab merancang untuk menyekat semua platform media sosial selama enam hari, lapor laman berita RT semalam.
Sekatan akan dibuat ketika pengikut Syiah menyambut Hari Asyura pada minggu depan.
Kerajaan tempatan diketuai oleh Maryam Nawaz mencadangkan larangan tersebut yang melibatkan platform YouTube, WhatsApp, Facebook, Instagram dan TikTok bermula 13 Julai hingga 18 Julai ini.
Larangan itu bagi mengawal bahan berunsur kebencian, berita palsu dan mengelakkan keganasan antara mazhab.
“Ia masih di peringkat cadangan, dan setakat ini, keputusan belum dibuat,” kata Menteri Penerangan, Uzma Bukhari kepada agensi berita Reuters, Jumaat lalu.
Tambahnya, kerajaan menerima laporan mengenai beberapa isu mazhab di media sosial yang menurutnya, boleh meletakkan negara dalam bahaya.
Keputusan untuk melaksanakan larangan itu perlu diluluskan oleh kerajaan persekutuan yang diketuai bapa saudara Maryam sendiri iaitu Perdana Menteri Shehbaz Sharif.
Punjab mempunyai populasi lebih 120 juta orang, manakala penduduk Syiah adalah golongan minoriti.
Hari ke-10 bulan Muharram dianggap suci dalam kalangan pengikut Syiah untuk memperingati hari kematian cucu Nabi Muhammad SAW, Hussain Ibn Ali. – AGENSI