PUTRAJAYA – Seorang penganggur yang pernah melarikan diri dari Balai Polis Tanjung Sepat selepas ditahan kes kematian remaja pada 2004, kekal menjalani hukuman mati kerana membunuh gadis berkenaan, 20 tahun lalu.
Akhbar pada 9 Mac 2004 melaporkan gadis yang hilang sejak 26 Februari tahun sama ditemukan mati selepas ditanam dalam lubang sedalam 1.52 meter (m) di tempat letak kereta yang disimen di sebuah rumah teres, Taman Perwira, Sijangkang, Selangor.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan hukuman mati terhadap Kher Tian Hock, 49, selepas menolak permohonan semakan lelaki itu.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Tian Hock disabitkan membunuh See Sheau Fang, 18, di kawasan sebuah rumah di Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang pada pukul 9.30 pagi dan 5.30 petang, 28 Februari 2004.
Banduan akhir itu juga pernah didakwa di mahkamah kerana melarikan diri daripada tahanan di Balai Polis Tanjung Sepat antara 6.30 pagi dan 7.30 pagi, 13 Mac 2004 setelah ditahan untuk siasatan kes bunuh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, K. Roshan membantah permohonan semakannya dan mahukan hukuman gantung dikekalkan.
Roshan berhujah, mangsa dicekik sehingga mati dan mayatnya dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dicampak ke dalam lubang dan ditutup dengan simen.
Peguam Hasnan Hamzah bagaimanapun memohon semakan dibenarkan kerana kes itu tidak dikategorikan sebagai ‘yang paling jarang di antara yang jarang berlaku.’
Mayat Sheau Fang, 18, ditanam dalam lubang yang disimen dalam keadaan kaki dan tangannya diikat dan tubuhnya dibalut dengan plastik.
Empat hari kemudian, salah seorang daripada lima lelaki yang ditahan berhubung kes bunuh tersebut melarikan diri dari lokap Balai Polis Tanjung Sepat.
Thian Hock melarikan diri melalui bumbung balai polis setelah memecahkan siling bilik air lokap pukul 7.15 pagi.
Suspek ditahan semula pada 5 Oktober 2011 di Masai, Johor berhubung dakwaan terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah dengan menggunakan identiti dan kad pengenalan baharu. – KOSMO! ONLINE