fbpx

Pembunuh adik Dirang kekal ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muidin (kanan) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru setelah didapati bersalah membunuh Dirang (kiri).

PUTRAJAYA – Seorang bekas buruh kontrak yang didapati bersalah membunuh kanak-kanak Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang dalam kejadian tragis 12 tahun lalu, kekal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan Muidin Maidin, 37, selaku pemohon bagi semakan mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Tengku Maimun berkata keputusan mengekalkan hukuman gantung itu dibuat selepas mahkamah mengambil kira secara keseluruhan kejadian yang berlaku.

“Mengambil kira kejadian kes ini, permohonan pemohon (Mudin) ditolak, hukuman mati dikekalkan,” kata Hakim Tengku Maimun.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Mengikut pertuduhan Muidin (ketika kejadian) dituduh membunuh Dirang yang berusia 4 tahun 9 bulan, di ladang kelapa sawit di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di Johor Bahru antara pukul 11.30 pagi, 1 Mac dan 12 tengah malam pada 2 Mac 2012.

Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari selaku responden memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati terhadap pemohon seperti mana keputusan mahkamah terdahulu.

“Kes ini adalah satu kejadian tragis yang mana mangsa ketika kejadian baru berusia empat tahun dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mi segera dan telur. Pemohon (Muidin) kemudian telah membawa mangsa ke kebun kelapa sawit (tempat kejadian berlaku) di situ mangsa dibunuh dan dibakar.

“Terdapat juga kesan asid deoksiribonukleik (DNA) milik tertuduh dalam vagina (kemaluan) dan dubur mangsa,” kata Mohd. Amril

Tambah beliau selain itu, kejadian yang menimpa adik Dirang pada 2012 itu juga telah mendapat liputan meluas sehingga menaikkan rasa marah dan dukacita rakyat Malaysia apabila seorang budak perempuan yang sepatutnya dilindungi diperlakukan sedemikian rupa.

Sementara itu peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili pemohon memohon mahkamah membenarkan semakan dengan mengetepikan hukuman gantung itu.

Kata peguam itu, sejak berada di dalam penjara pada tahun 2012, anak guamnya banyak mendekatkan diri dengan aktiviti keagaaman dan telah insaf.

“Sepanjang 12 tahun dipenjara pemohon banyak menyertai aktiviti keagaamaan dan motivasi yang dianjutkan penjara. Pemohon menerima sekiranya mahkamah menggantikan hukuman mati kepada penjara maksimum 40 tahun,” kata peguam itu yang turut memaklumkan Muidin kini menghidap asma.

Mendengar hujah peguam itu, Mohd. Amril membantah dengan mengatakan meskipun Muidin telah insaf, tapi itu tidak mencukupi untuk menebus perbuatan kejam dengan apa yang telah dilakukan terhadap adik Dirang.

Pada Jun 2013, Muidin dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru setelah didapati bersalah membunuh Dirang.

Kemudian pada 15 Disember 2014 Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman sama diikuti Mahkamah Persekutuan pada 28 Mei 2015 yang turut mengekalkan hukuman gantung sampai mati selepas menolak rayuan akhir Muidin selaku perayu ketika itu.

Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012 ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar pada 12 Mac tahun yang sama.

Misteri kehilangan Dirang terjawab apabila laporan Jabatan Kimia mengesahkan ujian DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, Johor pada 8 Mac 2012 adalah milik mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI