SUKAN Universiti Asean (AUG) edisi ke-22 yang akan dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2026 perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia bagi merampas gelaran juara keseluruhan dari Indonesia.
Pada AUG 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia bermula 26 Jun hingga 6 Julai lalu, Malaysia sekadar berpuas hati di tangga ketiga keseluruhan selepas mengutip 144 pingat termasuk 38 emas, 45 perak dan 61 gangsa.
Ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke AUG 2024, Suhairi Ismail menyuarakan harapannya supaya Malaysia menyenaraikan beberapa sukan yang mampu menjadi kelebihan untuk kontinjen negara memenangi emas.
“Bermula hari pertama hingga terakhir, atlet-atlet kita sudah bertungkus-lumus untuk memastikan Malaysia mencipta kejayaan. Kita amat bangga dengan kutipan pingat yang berjaya melepasi sasaran 35 emas.
“Harapan saya untuk AUG 2026 nanti adalah supaya sukan-sukan yang dipertandingkan boleh beri kelebihan kepada kita seperti boling, skuasy dan terjun. Bagaimanapun, ia terpulang kepada jawatankuasa nanti,” katanya.
Sukan olahraga dianggap sebagai skuad paling cemerlang pada temasya sukan dwitahunan itu apabila berjaya membawa pulang 13 pingat emas diikuti renang di tempat kedua dengan sembilan emas.
Meskipun berjaya melepasi sasaran, namun Malaysia terpaksa menunggu hingga hari kedua terakhir bagi mendapatkan pingat emas ke-35 menerusi atlet karate, H.S. Sureeya yang memenangi acara kumite bawah 60 kilogram lelaki.
“Di pihak sekretariat, kita dah buat analisis awal dengan susunan sukan yang dipertandingkan. Biasanya olahraga bermula awal tetapi kali ini agak lambat kerana memberi ruang kepada acara berpasukan.
“Sebelum ini, olahraga mula dahulu, sebab itu kita dapat banyak pingat di awal saingan. Selain itu, kita juga bangga dengan kejutan-kejutan yang dibuat menerusi bola baling dan petanque,” ujar Suhairi.