PETALING JAYA – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah hari ini meninggalkan satu hantaran di media sosial Facebooknya dengan satu status yang dipercayai ditujukan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
ADUN Pachor itu secara terbuka manaikkan satu status seakan-akan memerli ucapan Ahmad Zahid ketika di Perak semalam yang menyatakan gabungan Barisan Nasional (BN) tidak sesekali akan bergabung dengan Pas.
Ahmad Zahid berkata, selagi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminpi parti tersebut, beliau tidak akan sesekali bergabung dengan parti kompenan yang ketika ini berada dalam gabungan parti pembangkang bersama Bersatu dan Gerakan dalam Pakatan Nasional (PN).
“Ayam tak patuk, itik tak sudu. Kamu tak hendak, kami tak mahu!” tulis Nik Amar ringkas di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, UMNO atau BN tidak sesekali akan bergabung dengan Pas ketika Pilihan Raya Umum (PRU) nanti kerana presidennya didakwa suka menipu.
“Dah berapa kali saya jumpa bersama Timbalan Presiden (Datuk Muhamad Hasan) untuk berbincang sebelum ini.
“Kali pertama kata ok lepas tu keluar keputusan lain, kemudian jumpa lagi empat mata. Di hadapan kata ‘ok’ keluar keputusan juga lain. Saya tidak akan bergabung dengan Pas selagi Presidennya ada,” ujar Ahmad Zahid ketika ucapannya pada Perhimpunan UMNO negeri Perak semalam. – KOSMO! ONLINE.