fbpx

Guru disiplin didakwa tampar, tarik rambut anak murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Seorang guru disiplin didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menampar muka seorang pelajar beberapa kali dan menarik rambut mangsa di dalam bilik guru di sebuah sekolah menengah dekat sini, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Heirman Ishak, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang guru disiplin didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada seorang pelajar lelaki yang ketika kejadian berusia 17 tahun dengan cara menampar muka beberapa kali dan menarik rambut mangsa.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 11.30 pagi di bilik guru sebuah sekolah menengah di Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 9 Disember 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Difahamkan kejadian berlaku selepas pelajar terbabit berjumpa dengan tertuduh di bilik guru untuk meminta kunci bilik multimedia kerana ingin mengambil botol minumannya yang tertinggal.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam, Nor Azri Mohd. Arif yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih berkhidmat di sekolah sama dengan gaji bulanan RM7,000 sebulan termasuk elaun.

Katanya, tertuduh juga menanggung dua orang anak yang masih belajar, selain menjaga ibu berusia 70 tahun.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 22 Ogos ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI