fbpx

Euro 2024: Pemain Perancis elak aura negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERANCIS bersedia untuk menutup mulut pengkritik dengan memburu kemenangan ke atas Sepanyol untuk menempah slot final Euro 2024. - AFP

MUNICH – Skuad Perancis bersedia untuk menutup mulut pengkritik menjelang perlawanan getir separuh akhir saingan Euro 2024 menentang Sepanyol di Allianz Arena awal pagi esok.

Sebagai rekod, pasukan Les Bleus kendalian Didier Deschamps berjaya mara ke kelompok empat negara terbaik meskipun hanya menjaringkan tiga gol sepanjang Euro dengan dua hasil jaringan sendiri pasukan lawan dan hanya satu penalti yang diledak Kylian Mbappe.

Situasi tersebut membuat ramai peminat bola sepak tidak berpuas hati dengan kualiti yang ditampilkan oleh Perancis kerana negara itu memiliki pemain berkelas dunia seperti Mbappe dan Antoine Griezmann.

Pemain tengah Perancis, Youssouf Fofana mengakui pasukan langsung tidak menghiraukan kritikan yang dilempar sebaliknya fokus dengan aksi menentang La Roja dalam usaha mara ke pentas final.

“Secara peribadi, saya tidak kisah dengan kritikan di luar padang kerana apa yang penting adalah fakta bahawa kami berada di separuh akhir.

“Mengenai prestasi Griezmann dan Mbappe, saya rasa tiada apa yang perlu diulas kerana lebih baik kita pandang daripada aspek positif.

“Saya harap pasukan dapat teruskan momentum dan kekal sejiwa kerana kita akan mengharungi perlawanan yang lebih getir menentang Sepanyol dengan misi kali ini adalah untuk mara ke final,” katanya.

Sementara itu, pertahanan kental Perancis, William Saliba bersedia untuk memastikan benteng pasukan terus kebal dengan merantai jentera serangan La Roja daripada bermain seperti biasa.

“Saya mahu rakan-rakan di benteng pertahanan fokus kerana Sepanyol memiliki kualiti yang hebat khususnya di jentera serangan.

“Namun, kami tidak perlu takut dengan mana-mana pemain dan perlu menganggap aksi kali ini sebagai cabaran untuk menguji keupayaan diri.

“Sudah tentu sebagai pertahanan impian saya adalah untuk berdepan pasukan terbaik dunia dan saya mahu fokus sepenuhnya di atas padang nanti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI