fbpx

Euro 2024: Deschamps harapkan nasib lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DESCHAMPS

MUNICH – Prestasi dipamerkan Perancis pada edisi Euro 2024 kali ini dianggap jauh berbeza berbanding persembahan yang mereka biasa lakukan dalam kejohanan-kejohanan besar biarpun berjaya mara ke pentas separuh akhir.

Skuad kendalian Didier Deschamps itu dianggap mempunyai nasib yang cukup baik apabila berjaya melepasi halangan beberapa pasukan gergasi seperti Belanda, Belgium dan Portugal walaupun setakat ini hanya Kylian Mbappe yang mencetak nama selaku penjaring gol Perancis.

Prestasi yang dipamerkan itu menyebabkan Deschamps tidak terlepas daripada kritikan apabila ramai yang menganggap beliau sudah tidak memiliki mentaliti menyerang sebaliknya terlalu fokus terhadap aspek bertahan.

Hasilnya, Perancis hanya meledak tiga gol sahaja dalam lima perlawanan sehingga suku akhir biarpun mereka memiliki para pemain yang memiliki kebolehan mempamerkan aksi menyerang yang baik.

“Apabila anda tidak mampu mendapatkan jaringan, adalah lebih baik untuk anda bertahan dan mengelak daripada dibolosi. Saya ketua jurulatih yang menentukan bagaimana cara pasukan ini bermain dan bertahan adalah pilihan saya,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi bintang harapannya, Mbappe yang berdepan kesukaran untuk menyerlah, Deschamps mengakui kecederaan patah hidung menjejaskan prestasinya, malah beliau juga tidak mampu mengharapkan sesuatu yang lebih daripada Antoine Griezmann.

“Atas banyak alasan, Kylian dan Antoine masih belum berjaya memberikan aksi yang terbaik seperti yang ramai harapkan. Bagaimanapun, kami berjaya sampai ke tahap ini,” jelasnya.

Menjelang perlawanan merebut slot final menentang Sepanyol awal pagi esok, Deschamps percaya La Roja adalah pasukan yang lebih baik berbanding skuad kendaliannya ketika ini, namun enggan menyerah terlalu awal.

“Mereka adalah pasukan yang baik, tidak ada sebarang keraguan. Saya melihat mereka dalam beberapa perlawanan dan para pemain mereka mampu melakukan yang terbaik.

“Namun, kami seharusnya bersedia untuk mengimbang mereka, memberikan tentangan sengit seperti biasa dan mencari tempat di final,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI