KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu industri buluh dunia bernilai hampir AS$70.6 bilion pada tahun 2023 dan dijangka akan berkembang sebanyak 35 peratus atau mencecah AS$100 bilion pada tahun 2028.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia bagaimanapun berdepan beberapa isu terutama isu berkaitan tanah dalam membangunkan industri buluh di negara ini.
“Isu utama membangunkan industri buluh dalam negara soal tanah. Kalau kita hendak ada tanaman komersial perlu minimum tanah 2,000 hektar, jadi kita dapat pengeluaran yang mampan dan secara automatik mewujudkan industri hiliran. Kalau buat kecil-kecilan agak sukar.
“Sebab itu kita lihat dalam 10 tahun sebelum ini kita cuma eksport (buluh) RM13.7 juta. Tahun lepas kita eksport RM27.7 juta berbanding apa berlaku di luar negara. Kita sukar dapat tanah. Industri sawit kita ada 5.7 juta hektar. Getah 1.1 juta hektar, tetapi buluh baru 4,000 hektar. Jauh perbezaannya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) sejauh manakah kemajuan yang telah dicapai oleh industri buluh negara sesuai dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021 – 2030.
Johari seterusnya menjelaskan, industri buluh berdepan kesukaran untuk dikembangkan di negara ini kerana tidak memperoleh tanah daripada kerajaan negeri untuk tujuan penanaman buluh secara komersial.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak bersedia untuk memberi tanah bagi tujuan tersebut walaupun telah diberi penerangan dan rata-rata kerajaan negeri masih hanya berminat memberi tanah untuk penanaman kelapa sawit.
“Kelapa sawit dia (kerajaan negeri) lebih tertarik kerana ekosistem telah sempurna. Nilai eksport besar dan banyak produk hiliran dengan margin tinggi. Bila kita jumpa pemilik tanah yang tanam getah atau kelapa sawit yang mereka tak boleh kendalikan, kita minta nak tanam buluh semua tak beri.
“Buluh masih kelihatan kecil. Kerajaan negeri yang paling nampak potensi buluh adalah kerajaan Sarawak dengan peruntukan tanah 3,339 hektar untuk tanam buluh,” katanya.
Kata beliau, keadaan itu juga menyebabkan negara masih mengimport buluh untuk industri hiliran seperti kraftangan yang ada 528 syarikat terlibat, industri perabot (tujuh syarikat), tekstil (tiga syarikat) dan pembinaan (17 syarikat). – KOSMO! ONLINE