fbpx

Britain batal cubaan kerajaan Sunak lengah ICC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sepanduk bertulis “Keir Starmer: Adakah Buruh Akan Berhenti Membekalkan Senjata kepada Israel?” digantung di Jambatan Westminster, London pada 3 Jun lalu. – AFP

LONDON –  Kerajaan baharu Britain yang diterajui Parti Buruh mahu menggugurkan percubaan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung sama ada waran tangkap boleh dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Laman berita Middle East Eye melaporkan, perkembangan itu berlaku selepas kerajaan terdahulu pimpinan Parti Konservatif   dituduh cuba menghalang pendakwaan jenayah perang Israel dengan cara menangguhkan keputusan ICC.

Pada akhir Mei lalu, pendakwa raya ICC, Karim Khan memfailkan permohonan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel,  Yoav Gallant di samping barisan pemimpin kanan Hamas termasuk Yahya Sinwar, Ismail Haniyeh serta Mohammed Deif, atas dakwaan jenayah perang. 

Selaku  negara anggota ICC, Britain memfailkan alasan bertulis pada 10 Jun lalu bahawa   pihak berkuasa Palestin tidak mempunyai bidang kuasa ke atas warga Israel. Justeru, mereka tidak boleh memindahkan bidang kuasa pendakwaan kepada ICC.

Pada 27 Jun lalu, hakim ICC memutuskan bahawa London boleh mengemukakan hujah undang-undang dalam kes itu dan memberi Britain sehingga 12 Julai ini untuk mengemukakan tuntutannya. 

Namun, pegawai Parti Buruh memberi taklimat mengatakan bahawa  kerajaan baharu Britain percaya ICC mempunyai bidang kuasa ke atas Gaza. 

Ini bermaksud, kebarangkalian kelewatan bagi keputusan ICC mengenai permintaan waran tangkap tersebut tidak akan berlaku lagi.

Pada Ahad lalu, Downing Street mengumumkan bahawa Perdana Menteri Keir Starmer memberitahu Netanyahu dalam panggilan telefon bahawa beliau tidak sabar untuk mengukuhkan hubungan rapat antara Britain dan Israel. Namun dalam masa sama, Starmer menggesa gencatan senjata dilaksanakan di  Gaza.

“Pada hari  sama, Starmer memberitahu Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas bahawa keutamaan segera beliau adalah untuk mencapai gencatan senjata, pembebasan tebusan Israel, peningkatan bantuan kemanusiaan serta sokongan kewangan untuk PA,” kata seorang  jurucakap Downing Street. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI