PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, penyanyi Ben Ladin dikatakan sudah bergelar suami kepada wanita pilihan yang dikenali sebagai Shida.
Khabar gembira tersebut disahkan seorang wanita bernama Hamidah yang dipercayai ibu saudara kepada pengantin perempuan menerusi hantaran Facebook dua hari lalu.
Bagaimanapun, Hamidah tidak memperincikan tarikh sebenar anak saudaranya dengan Ben atau Muhammad Benladin Munshi Shaihan, 23, mendirikan rumah tangga.
“Persandingan anak buah dengan pasangannya Ben Ladin. Semoga kekal bahagia hingga ke Jannah,” katanya dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, tular video Ben mengenakan pakaian sut berona biru gelap sementelah isterinya memakai gaun serba putih dalam aplikasi TikTok.
Dalam perkongsian sama, kelihatan tiga jari pelantun lagu Hikayat Benladin memakai inai merah dan memeluk wanita itu pada penghujung video.
Rata-rata peminat turut terkejut dengan berita tersebut sambil mendoakan pasangan pengantin.
“Lah sudah kahwin. Ingat lagi dulu layan dia dekat Idola Kecil di TV9,” kata peminat.
“Ben sudah kahwin? Ini bermaksud kita semakin tua,” ujar pengikut.
“Aku pernah jumpa dia depan-depan tahun 2018, dia masih sekolah tetapi dia kahwin dulu. Apa-apa pun tahniah Ben dan isteri Semoga kekal hingga ke Jannah,” tutur peminat lain.
Setakat ini, Ben masih belum membuat sebarang kenyataan ataupun hantaran mengenai perkahwinannya. – KOSMO! ONLINE