fbpx

Argentina tak goyang prestasi Messi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI dilihat tidak berada pada tahap terbaiknya apabila masih gagal meledak sebarang gol dalam kempen kali ini. - AFP

NEW JERSEY – Pengendali Argentina, Lionel Scaloni ‘diasak’ tekanan dari setiap sudut yang menggesanya agar tidak menurunkan Lionel Messi dalam kesebelasan utama menentang Kanada pada separuh akhir Copa America 2024 di Stadium MetLife pagi esok.

Messi, 37, dikecam selepas mempamerkan prestasi longlai termasuk kegagalannya ketika penentuan sepakan penalti sebelum penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menjadi penyelamat ketika menewaskan Ecuador di suku akhir sebelum ini.

Bukan sahaja sembilan kali hilang penguasaan bola, tetapi Messi hanya menyentuh bola sebanyak 33 kali yang menyaksikan bintang Inter Miami itu cuma berupaya melakukan satu percubaan ketika menentang Ecuador.

Bagaimanapun, Scaloni tidak panik dengan statistik berkenaan kerana beliau percaya pemenang enam Ballon d’Or itu masih mempunyai elemen tersendiri dalam misi mereka mempertahankan gelaran dimenangi pada edisi 2021.

“Messi bermain sama seperti semua yang lain. Kami bermain sebagai satu pasukan, jadi kami tidak pernah sisihkan seseorang disebabkan kesilapan individu,” kata pengendali berusia 46 tahun itu.

Prestasi Messi kali ini dilihat membimbangkan apabila masih gagal merakam sebarang jaringan jika dibandingkan statusnya sebagai penjaring terbanyak bersama Luis Diaz dari Colombia dengan empat gol sewaktu edisi 2021.

Ramai beranggapan ia disebabkan bekas penyerang prolifik Barcelona dan Paris Saint-Germain masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring dialami ketika menentang Chile dalam aksi kumpulan sebelum ini.

Bagaimanapun, Messi menepis dakwaan itu dan memberi jaminan dia sudah berada pada tahap kecergasan terbaik untuk aksi menentang Kanada nanti.

“Saya langsung tidak merasai apa-apa ketidakselesaan, jadi saya boleh katakan ia (keadaan) bagus. Saya boleh bermain penuh perlawanan ini (menentang Ecuador).

“Mungkin saya perlu mengambil sedikit masa lagi dari segi psikologi (kecederaan). Saya berharap ia tidak akan mengganggu saya untuk aksi seterusnya,” jelas Messi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI