KUALA LUMPUR – Penerjun lelaki negara, Ooi Tze Liang gagal memperoleh slot tambahan untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mendapat keputusan rasmi daripada Akuatik Dunia sebentar tadi.
Pengarah teknikal kem terjun negara, Bryan Nickson Lomas memaklumkan, tiada slot tambahan akan diberikan kepada penerjun negara setelah penilaian dibuat daripada badan induk dunia itu walaupun pihaknya telah berusaha untuk mendapatkan tiket tersebut meskipun akhirnya tidak berjaya.
“Saya agak sedikit kecewa dengan keputusan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi kerana jika diikutkan ranking, Tze Liang antara yang berada di atas berbanding Nur Dhabitah (Sabri).
“Tetapi tidak mengapa, mungkin tiada rezeki buat Tze liang beraksi di pentas Olimpik Paris kali ini,” kata Bryan.
Tze Liang ketika ini menghuni ranking ke-23 dunia, berada di atas Nur Dhabitah yang berada di kedudukan ke-24 dunia, namun penerjun wanita negara itu diberikan slot ke Olimpik Paris minggu lalu.
Perubahan yang mengurangkan bilangan peserta acara tiga meter lelaki kepada 25 penerjun telah merumitkan keadaan yang menyebabkan Tze Liang sukar untuk menempah slot ke pentas berprestij dunia berkenaan.
Terdahulu, seorang penerjun Jepun yang berada dalam ranking 19-20 dunia tidak dihantar oleh negaranya sekali gus membuka peluang buat atlet negara untuk merebut tiket ke acara berkenaan sebelum Akuatik Dunia secara rasminya memaklumkan usaha itu tidak berjaya. – KOSMO! ONLINE