BANGKOK – Thailand mengambil langkah untuk mengklasifikasikan semula ganja dan hemp sebagai dadah berbahaya bermula pada 1 Januari tahun depan, lapor akhbar Bangkok Post hari ini.
Keputusan dibuat selepas sebuah jawatankuasa kerajaan bersetuju bahawa penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi perlu diharamkan.
Timbalan Setiausaha Kementerian Kesihatan Awam, Surachoke Tangwiwat berkata, semua ahli jawatankuasa bersetuju supaya ganja hanya dibenarkan untuk tujuan perubatan.
Meskipun terdapat percanggahan pendapat dalam beberapa perkara, undian majoriti akhirnya dicapai untuk menyenaraikan semula ganja dan hemp sebagai narkotik.
Beliau turut berkata, jawatankuasa itu akan menyerahkan laporannya kepada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik pada minggu depan.
Resolusi itu menyatakan ganja dan hemp harus dianggap sebagai tumbuhan narkotik kecuali dahan, akar dan bijinya.
Manakala pucuk ganja dan sebarang bahan yang mengandungi lebih daripada 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC), akan diklasifikasikan sebagai narkotik.
“Semua undang-undang berkaitan harus dipinda sebelum 1 Januari 2025. Itu jangka masa yang kami rancang untuk undang-undang ini berkuat kuasa,” kata Surachoke. – AGENSI