PETALING JAYA – Kegigihan tiga orang wanita orang kurang upaya (OKU) dari Kuala Lumpur untuk datang ke sebuah kedai makan yang terletak di Ipoh, Perak mengundang rasa sebak kepada pemiliknya.
Menerusi hantaran di Facebook Rizal Hakimm Punyer, ketiga-tiga wanita yang cacat penglihatan itu difahamkan datang ke Ipoh tanpa ditemani seorang pun individu yang sempurna penglihatan.
Ketika baru tiba di Ipoh Night Market, salah seorang daripada wanita tersebut menelefon dan bertanyakan pemiliknya dimanakah lokasi kedai ketika sedang menaiki Grab.
“Saya cakap dekat Cik yang telefon tu, boleh cari jalan nak pergi Ipoh Night Market. Terus dia tanyakan saya lagi ‘Night Market ni macam mana ya. Kedai dalam ‘Night Market’ ni ke?
“Saya iyakan. Kemudian dia tanya saya lagi kedai ada papan tanda ke. Saya jawab ada. Kemudian wanita itu terus kata ‘ok baik saya cuba cari’. Dalam hati saya mesti orang jauh ni.
“Sebab ni bukan pertama kali pelanggan tanya soalan yang lebih kurang macam ni. Dalam hati saya fikir mungkin dia tak sempat nak cari Ipoh Night Market ni macam mana,” tulisnya.
Selepas setengah jam, pemilik kedai makan itu berkata ada tiga orang wanita OKU cacat penglihatan datang dari Kuala Lumpur ke Ipoh semata-mata ingin merasai masakannya.
Ketiga-tiga mereka juga meluahkan hasrat untuk berjumpa dengan pemilik kedai berkenaan dan mengambil gambar bersama sebagai tanda kenang-kenangan.
Bagaimanapun, pemilik kedai tersebut kesal tidak dapat berjumpa dan melunaskan hasrat pelanggan istimewa itu kerana mempunyai urusan lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Ya Allah. Terima kasih kerana kau hadirkan tiga orang insan yang buta penglihatan tapi tidak buta hati untuk suka pada aku Ya Allah.
“Macam mana hanya mendengar suaraku dan mereka terus menyukaiku sampai sanggup datang dari Kuala Lumpur dengan harapan untuk berjumpa denganku dan bergambar denganku?
“Alhamdulillah staf saya pun ingat pesanan saya supaya tak berkira dengan pelanggan, jadi mereka dah siap-siap belanja kakak tiga orang ni. Saya doakan akak bertiga akan sentiasa dilindungi walau dimana akak bertiga berada. Amin,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE.