HOUMA, LOUISIANA – Polis dikejarkan ke sebuah kawasan hutan di Amerika Syarikat selepas sekumpulan remaja dilaporkan ketakutan setelah terserempak dengan makhluk besar berbulu dipercayai Bigfoot, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kumpulan graduan dari bandar Houma, negeri Louisiana Selatan itu sedang berkhemah di Hutan Negara Kistachie apabila mereka melihat makhluk berbulu mempunyai mata ‘menyala’ mengeluarkan bunyi mendengus.
Mereka melaporkan penemuan itu kepada Pejabat Syerif Natchitoches Parish sekitar pukul 9.20 malam (waktu tempatan) pada 28 Jun lalu, lapor akhbar The New York Post.
Pejabat syerif berkata, salah seorang daripada remaja yang semuanya berusia antara 17 hingga 18 tahun itu menelefon polis selepas mendengar bunyi menakutkan.
Menurut remaja tersebut, mereka melihat seekor makhluk yang mempunyai mata ‘menyala’ dan tingginya kira-kira 1.5 meter.
Polis kemudian tiba di tempat kejadian dan memeriksa sekitar tapak perkhemahan.
Kumpulan remaja tersebut ditemui dalam keadaan ketakutan dan tidak mengalami kecederaan sebelum diiring keluar dari hutan itu.
Polis bagaimanapun gagal menjejaki sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan itu. – AGENSI