PETALING JAYA – Selepas empat hari menerima dirawat di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, kesihatan penyanyi Datin Alyah kini berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani tempoh berehat.
Menurut pengurusnya yang dikenali sebagai Aida, keadaan Alyah atau nama penuhnya Noor Hasliah Abu Hasan, 43, kini semakin baik namun masih batuk-batuk.
“Meskipun masih batuk, Alhamdulillah Alyah sudah dibenarkan keluar hospital namun masih perlu mendapatkan rawatan susulan lanjut.
“Kesihatan sudah bertambah baik cuma doctor maklumkan ada jangkitan kuman sedikit pada paru-paru tetapi tidak begitu serius,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Tambah Aida, peningkatan suhu mendadak di Tanah Suci baru-baru ini merupakan punca Utama pelantun lagu Kisah Hati itu mengalami batuk yang berpanjangan.
Katanya, segala urusan berkaitan kerja dalam tempoh terdekat juga bergantung kepada tahap kesihatan Alyah.
“Doktor kata perubahan cuaca dan suhu sehingga 58 darjah Celsius di Mekah yang membuatkan batuk berterusan selama dua minggu ini.
“Sebab dia balik awal baru-baru ini dari Mekah sebenarnya ada kerja yang perlu dilunaskan juga tetapi buat masa sekarang kita pantau dulu tahap kesihatan dalam beberapa hari ini.
“Pengamblan ubat antibiotik dari hospital banyak membantu. Harap dapat sembuh segera dan semuanya kembali normal,” katanya lagi.
Terdahulu, pada 6 Julai lalu, isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS itu memaklumkan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya selepas mengalami batuk berpanjangan ketika menunaikan ibadah haji baru-baru ini.
Dia dilaporkan bergegas pulang ke tanah air pada 4 Julai lalu usai selesai rukun Islam yang kelima itu meski dijadualkan kembali pada 17 Julai depan.- KOSMO! ONLINE