fbpx

Nadia kekal cemerlang biarpun aktif di kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIA merupakan siswi jurusan farmasi di UM.

GADIS berusia 23 tahun ini tidak kekok apabila beraksi menggayakan produk di depan kamera.

Bagi mahasiswa tahun kedua jurusan farmasi di Universiti Malaya (UM), Nadia Natasha Mohd. Said, ramai kenalannya mencadangkan dia supaya menjadi model bagi menambah wang saku.

Cabaran tersebut lantas disahut oleh gadis yang mesra dipanggil Nadia ini setelah diberi peluang menjadi duta produk tudung sukan, LaSports.

“Banyak yang saya pelajari mengenai dunia peragaan terutamanya berkaitan cara penggayaan di depan kamera, tatarias dan jadual seorang model profesional.

“Pun begitu, hati saya masih belum terbuka untuk ke arah itu, baik secara separuh atau sepenuh masa,” katanya kepada iGen.

Menurut anak kelahiran Johor Bahru itu, hanya ada satu impian yang ingin dicapainya buat masa ini dan ia menuntut komitmen tinggi daripadanya.

Keinginan yang dimaksudkan oleh anak ketiga daripada empat beradik ini adalah untuk menjadi usahawan farmasi berjaya pada suatu masa nanti.

“Komitmen yang diperlukan untuk menggapai cita-cita ini amat tinggi terutama dalam membahagikan masa di antara tugasan akademik dan kegiatan luar bilik kuliah.

“Itu semua memerlukan masa, sekali gus bakal membentuk diri saya sebagai seorang graduan yang holistik nanti,” katanya.

Untuk makluman, Nadia bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik sejak di bangku sekolah, malah meneruskan jejak kecemerlangannya sehingga di universiti.

Penerima anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Johor 2018 dan Tokoh Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 2018 itu cemerlang di universiti dengan mengekalkan gred purata terkumpul yang tinggi.

BIARPUN sibuk di kampus, namun Nadia tetap meluangkan masa untuk aktiviti riadah seperti mendaki bukit.

Tidak sekadar akademik, dia turut aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

Dari sukan futsal, program sukarelawan, sehinggalah lakonan teater, Nadia sentiasa mencari ruang mempelajari sesuatu yang baharu dan mencabar dirinya.

“Saya memang sukakan cabaran dalam melakukan sesuatu yang baharu, namun saya akan pastikan sentiasa memberikan yang terbaik.

“Bagi futsal, saya pernah mewakili UM sampai ke kejohanan di Sarawak dan Pulau Pinang.

“Manakala untuk lakonan teater, saya turut membantu Kolej Kediaman Kedua mendapat tempat dalam Karnival Teater UM,” ujarnya.

AKSI Nadia ketika menjayakan salah satu babak di pentas teater.

Tambah penggemar menu ayam masak merah ini, dia juga telah memulakan satu lagi hobi baharu iaitu mengait.

Akuinya, dia hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk mahir mengait dan kini boleh menghasilkan pelbagai jenis produk seperti bekas mekap dan tas tangan.

Katanya, produk hasil mengaitnya itu dijual secara online di akaun media sosial untuk menambah wang saku di menara gading.

Jiwa keusahawanan di dalam dirinya sememangnya telah wujud sejak kecil apabila pernah menjual gelang tangan dan tag nama di sekolah rendah, selain aiskrim, kek, dan tudung di sekolah menengah.

Menjadikan aktivis dari Pakistan, Malala Yousafzai yang diangkat sebagai penerima Anugerah Nobel termuda sebagai suri teladannya, Nadia menyeru kepada semua belia untuk menanamkan rasa tidak mudah putus asa.

Ujarnya, sifat tersebut perlu ada terutamanya apabila berhadapan dengan cabaran dalam melakukan sesuatu perkara.

“Apabila kita sudah menetapkan hala tuju yang ingin dicapai, jangan sesekali mudah berputus asa apabila dicabar dengan halangan.

“Ini kerana, cita-cita itu milik kita dan kita hanya mengecewakan diri sendiri jika tunduk menyerah dengan cabaran yang sentiasa menanti.

“Sifat tidak mudah putus asa ini secara tidak langsung mampu menjadi senjata ampuh untuk generasi muda terutamanya dalam menangani cabaran dunia digital pada hari ini iaitu kesejahteraan mental,” tuturnya.

Akhir bicara, Nadia menyeru semua belia agar sentiasalah mengintai peluang tanpa sedikit pun rasa takut, selain percaya kepada kemampuan diri masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI