PETALING JAYA – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat, esok.
Menerusi Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada laman web Parlimen, usul tersebut akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 diputuskan.
Dalam aturan tersebut menyebut, LKAN wajar dibahaskan secara terperinci di Dewan Rakyat supaya perhatian dan pengamatan mendalam oleh semua pihak dapat diberikan.
Ia bagi mendukung hasrat kerajaan mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik selain penelitiannhanya di peringkat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Ini sekali gus dapat memberikan isyarat jelas kepada keseluruhan jentera pentadbiran kerajaan akan kesungguhan memerangi kecurangan dan salah laku serta memartabatkan tatakelola yang unggul seperti disarankan oleh Perdana Menteri.
“Usaha murni ini juga seiring dengan inisiatif mentransformasikan Dewan Rakyat yang berperanan untuk ‘semak dan imbang’ kuasa eksekutif,” menurut Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul tersebut.
Selain itu, sembilan RUU akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama esok melibatkan RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, RUU Keterangan (Pindaan) 2024, RUU Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024, RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 dan RUU Angkatan Tentera (Pindaan) 2024.
Kemudian, RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2024, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 serta RUU Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024.
Selain itu, sidang yang berlangsung di Dewan Rakyat esok turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
Anwar dijangka menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How mengenai dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat untuk menyertai BRICS serta bagaimana penyertaan ini akan membantu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam meningkatkan potensi eksport tempatan ke negara BRICS.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim pula bertanyakan mengenai fokus kerajaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Soalan seterusnya ialah pelaksanaan reformasi institusi agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berfungsi secara adil, telus dan bebas daripada campur tangan pihak eksekutif. – KOSMO! ONLINE