fbpx

Kita perlukan pelapis PKS halal – HQC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL SHAHRIL (kiri) bersama rakan kongsi pada Ekspo Halal Malaysia 2024 di Seri Kembangan baru-baru ini.

MALAYSIA dikenali sebagai salah sebuah hab halal di pasaran antarabangsa dan bagi mengukuhkan imej tersebut, kerajaan telah menetapkan lebih 50,000 syarikat daripada pelbagai kategori bakal mendapat sijil halal menjelang tahun 2030. Sehingga kini, sasaran itu hanya melepasi angka 10,000 syarikat.

Masih banyak ruang dan peluang untuk memenuhi visi tersebut, maka tanggungjawab itu bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), malah pelbagai pihak lain yang berkaitan. Antara yang aktif menyokong usaha ini adalah HQC Commerce Sdn. Bhd. (HQC).

Diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairul Shahril Hamzah, HQC telah berjaya membantu lebih daripada 2,000 syarikat mendapatkan sijil halal dan bilangan tersebut dijangka terus bertambah ekoran permintaan tinggi daripada usahawan tempatan.

“Dalam pameran yang kami anjurkan secara bersama seperti Ekspo Halal Malaysia 2024 baru-baru ini, berdasarkan borang kaji selidik diedar kepada pempamer yang belum ada sijil halal, mereka sebenarnya berminat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang permohonan sijil berkenaan.

“Ada yang tidak tahu cara untuk memohon dan ada juga yang mendakwa ia melibatkan kos yang mahal.

“Inilah usaha kami, jika tiada pihak yang cuba meneroka bidang itu, maka sukarlah kita mencapai misi untuk melihat lebih banyak syarikat mendapatkan sijil halal untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing dan membawa imej halal ke peringkat antarabangsa. Kita perlukan lebih banyak pelapis dalam PKS berstatus halal,” katanya ketika ditemui di Seri Kembangan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HQC, Datuk Khairul Shahril Hamzah.

KOSMO!: Boleh jelaskan pera­nan HQC dalam menyokong pertumbuhan industri halal di negara ini?

Khairul Shahril: Kami adalah rakan pembimbing yang dilantik oleh Malaysia International Halal Academy di bawah Jakim, dengan kata lain kami adalah rakan pembimbing Jakim.

Kami dilantik sejak 2018 dan sentiasa bekerjasama erat de­ngan pelanggan untuk memberi khidmat rundingan, nasihat, tunjuk ajar dan bimbingan dalam menyediakan proses mengikut garis panduan yang diperlukan serta menyediakan dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jakim.

Selain itu, kami juga me­latih eksekutif halal di syarikat-syarikat supaya memiliki kemahiran tinggi tentang sistem pempro­sesan sijil halal, audit dalaman dan pengurusan berkaitan industri berkenaan.

Untuk tahun ini berapa syarikat tempatan yang bakal dibantu mendapat sijil halal?

Kami sasarkan lebih kurang 300 syarikat. Hampir 98 peratus daripadanya terdiri daripada syarikat bukan milik bumiputera.

Apa beza permohonan sijil halal tanpa bantuan rakan pembimbing berbanding mereka yang mendapatkan khidmat HQC?

Kami beri nasihat dan bim­bing mereka untuk ikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan, bagaimana cara untuk lengkapkan prosedur operasi dan perkara lain yang berkaitan dengan permohonan sijil halal.

Banyak syarikat melihat pro­ses mendapatkan sijil halal adalah mudah, tetapi sebenarnya terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi, ia tidak semudah yang disangka. Proses ini juga memerlukan pemahaman yang tinggi untuk melakukan setiap perkara mengikut aturan yang betul.

Sebab itulah kami perlu membimbing syarikat untuk menghantar permohonan dan dokumentasi mengikut apa yang Jakim mahukan.

Bagaimana HQC menjana pendapatan daripada perkhidmatan tersebut?

Para pelanggan akan dikenakan caj sebagai yuran bimbingan yang mana ia turut meliputi pelbagai latihan diberikan kepada eksekutif dan penasihat halal syarikat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jakim.

Apakah perancangan terbaharu HQC?

Kami baru sahaja menganjurkan Ekspo Halal Malaysia 2024 yang mana sebanyak 130 pempamer terlibat dalam program kali ini, kebanyakannya terdiri daripada syarikat pemula.

Selain itu, kami juga telah membawa 10 syarikat pemula yang tiada pengalaman menyertai pame­ran di luar negara untuk menyertai Pameran Makanan dan Minuman di Singapura baru-baru ini.

Apakah syarat penyertaan pameran tersebut?

Perkara utama adalah mereka perlu memiliki sijil halal dan sudah beroperasi di pasaran lebih daripada enam bulan. Kami akan melakukan saringan dan sekiranya mereka memerlukan, HQC akan bantu mendapatkan pembiayaan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ini adalah platform terbaik buat usahawan tempatan, ­khidmat kami berbeza daripada penganjur ekspo atau pameran lain kerana turut mengutamakan usaha membawa mereka ke pameran bertaraf antarabangsa bagi memberi pendedahan berharga untuk meluaskan pasaran, mencari rakan kongsi baharu serta peluang dagangan bersama pelabur dari luar negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI