MEKAH – Kiswah yang menutupi Kaabah di kota suci Mekah digantikan dengan kain yang baharu kelmarin sempena sambutan Tahun Baharu 1446 Hijrah, demikian menurut saluran berita Arabnews.
Pemasangan kiswah itu dilakukan oleh pasukan daripada Kompleks Raja Abdulaziz yang dianggotai seramai 159 tukang kraf dan juruteknik terlatih bagi menyempurnakan proses rumit itu.
Kiswah diperbuat daripada 53 helai kain sulaman emas yang dihasilkan oleh kakitangan kompleks itu.
Proses rumit itu dilakukan dengan tangan dan mengambil masa antara 60 hingga 120 hari untuk menyiapkan satu helaian sutera bersulam emas.
Secara keseluruhannya, sebanyak 120 kilogram emas, 100 kilogram perak dan 1,000 kilogram sutera digunakan dalam proses tersebut.
Kain kiswah memiliki berat 1,350 kilogram dan setinggi 14 meter, serta mempunyai empat bahagian termasuk langsir pintu.
Sebelum ini, kiswah diganti ketika musim haji, khususnya pagi 9 Zulhijjah selepas jemaah meneruskan perjalanan ke Padang Arafah.
Namun, tahun lalu, Presiden Umum Urusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan perubahan pada penggantian kiswah, di mana ia akan dilakukan sehari sebelum 1 Muharram.
Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais berkata, perubahan itu dibuat atas keputusan kerajaan Arab Saudi. – AGENSI