KUALA KANGSAR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa kerusi Parlimen Kuala Kangsar akan ditandingi calon daripada UMNO sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu diadakan dalam masa terdekat.
Ahmad Zahid berkata, biarpun UMNO tewas pada pilihan raya sebelum ini, kerusi itu kekal menjadi kerusi tradisi UMNO untuk ditandingi.
“Bekerjasamalah yang ada di atas pentas (kepimpinan) dan di bawah pentas (akar umbi). Saya ingatkan diri saya, jangan fikir kita boleh duduk di atas pentas ini jika tidak ada sokongan daripada yang di bawah.
“Yang di atas perlu menyantuni yang di bawah dan yang di bawah pula hormati yang di atas, banyaknya sekarang batu api. Apa yang penting, kukuhkan kerjasama dan jangan berbeza pendapat,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Bahagian UMNO Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut memberi jaminan bahawa calon anak tempatan akan diberi keutamaan untuk mewakili parti itu bertanding di kerusi berkenaan.
Untuk rekod pada PRU-15, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menang di Parlimen Kuala Kangsar dengan 14,380 undi menewaskan calon BN, Maslin Sham yang memperoleh 10,814 undi diikuti calon Pakatan Harapan (PH), Dr Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Dr Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi).
Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar, Ahmad Zahid berkata, kerjasama di antara BN dan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan dibincangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN. – KOSMO! ONLINE