JOHOR BAHRU – Gara-gara terpengaruh dengan keuntungan skim pelaburan perniagaan yang ditawarkan kenalannya, seorang juruteknik menanggung kerugian sebanyak RM167,147 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, semalam.
Katanya, mangsa mendakwa dia ditipu kenalan Facebook yang menawarkan skim pelaburan perniagaan yang menjanjikan keuntungan 20 peratus daripada modal yang dilaburkan.
“Mangsa hanya perlu mendaftarkan diri melalui pautan yang diberi seterusnya mengambil tempahan dari pelanggan dan membuat bayaran.
“Mangsa yang tertarik dengan kaedah yang mudah dan pulangan yang tinggi melakukan 21 kali transaksi bayaran secara dalam talian ke dalam 14 akaun bank sejak 29 April hingga 23 Jun lalu yang berjumlah RM167,147,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, pembayaran yang dilakukan itu adalah untuk tempahan barangan yang mangsa kumpulkan dari pelanggan secara dalam talian.
“Selepas melaburkan wang tersebut, keuntungan yang diperoleh tidak dapat dikeluarkan membuatkan mangsa sedar dirinya ditipu,” katanya.-KOSMO! ONLINE