BERLIN – Pengendali Turkiye, Vincenzo Montella percaya bahawa pasukannya sudah memenangi hati peminat bola sepak di seluruh dunia dengan semangat dan tenaga yang dipamerkan biarpun terlepas peluang ke separuh akhir Eur0 2024 kali ini.
Awal pagi semalam pada aksi suku akhir di Olympiastadion menyaksikan impian Turkiye melakar kejutan mara lebih jauh tersekat selepas tewas 1-2 menentang Belanda.
“Sejak saingan ini bermula, semangat pasukan ini dan sokongan para peminat bergabung menjadi satu tenaga yang luar biasa. Kami sangat berbangga dengan cara pasukan ini bermain, menterjemahkan gaya bola sepak Turkiye dan cukup baik ketika beradaptasi dengan perlawanan.
“Kami mempunyai impian dan hampir untuk mencapainya. Kami perlu menjaga elemen yang sudah terbina ini dan karakter yang dimiliki untuk berdepan saingan seterusnya selepas ini,” kata Montella.
Turkiye berjaya melakar kejutan selepas meledak gol pembukaan pada minit ke-35 menerusi Samet Akaydin yang menyudahkan hantaran lintan Arda Guler selepas pemain pertahanan Belanda gagal mengeluarkan bola hasil sepakan penjuru dengan baik.
Bagaimanapun, mereka gagal mempertahankan kelebihan tersebut selepas Stefen De Vrij meledak gol penyamaan pada minit ke-70 sebelum pemain pertahanan mereka, Mert Muldur tertampan bola ke gawang sendiri untuk Belanda meraih kemenangan.
Biarpun gagal meneruskan kempen kali ini, Turkiye mampu mendabik dada dengan persembahan mereka sebelum tersekat di suku akhir apabila mencatat tiga kemenangan dan meledak lapan gol.
“Kami perlu rasa bangga dengan prestasi kali ini. Para pemain beraksi dengan ‘semangat Turkiye’. Kami menikmati perasaan dan sokongan para peminat dan saya fikir kami layak untuk menerimanya.
“Selepas kempen Euro kali ini, Turkiye akan dilihat sebagai sebuah pasukan yang berbeza, mungkin kami akan lebih dihormati.
“Ini adalah asas, kami perlu lebih berkembang pada masa depan. Para pemain akan menimba lebih banyak pengalaman selepas ini untuk menjadi lebih matang dan menjadikan Turkiye sebuah pasukan yang lebih hebat,” jelasnya. – AGENSI