fbpx

Euro 2024: Kritikan keras bantu England layak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENGLAND menempah slot separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut dalam kejohanan utama selepas menundukkan Switzerland pada aksi awal pagi semalam. - AFP

DUSSELDORF – Biarpun berdepan kritikan apabila terus gagal mempamerkan aksi yang memberangsangkan, England berjaya menempah slot separuh akhir Euro 2024 selepas membenam cabaran Switzerland di Merkur Spiel Arena awal pagi semalam.

Sepanjang 120 minit perlawanan menyaksikan keputusan terikat 1-1 hasil jaringan Breel Embolo dan Bukayo Saka menyebabkan aksi diheret ke penentuan penalti sebelum The Three Lions lebih bernasib baik meraih kemenangan 5-3 untuk menyertai kelompok empat pasukan terbaik.

Pengendali England, Gareth Southgate mengakui pasukannya berdepan tekanan hebat ketika ini ekoran aksi kurang menyengat dipamerkan, namun beliau percaya ia juga suatu yang bagus untuk meningkatkan semangat pemain membawa pasukan mara lebih jauh.

“Prestasi yang bagus untuk mengekalkan kami dalam pertandingan dan kini kami kena lihat sebagai satu lagi cabaran. Ada tanda-tanda peningkatan, bukan saja aspek permainan, tetapi juga dalam hal lain.

“Saya fikir pemain telah memberikan aksi dengan baik dan mungkin ini yang terbaik sepanjang saingan. Mempamerkan karakter dan bangkit daripada ketinggalan bukan sahaja memerlukan anda bermain dengan baik.

“Kami menentang sebuah pasukan yang bagus dan anda perlu memberikan perhatian dengan baik di kawasan pertahanan. Saya fikir kami telah memberikan tekanan dengan baik dan menguasai permainan dengan baik,” jelasnya.

Sementara itu, penggempur sensasi England, Harry Kane mencetuskan resah para peminat selepas terpaksa dikeluarkan ekoran mengalami kecederaan sebelum digantikan oleh Ivan Toney.

Bagaimanapun, penyerang Bayern Munich itu tampil meredakan kerisauan dan mengakui dia masih berpeluang untuk bermain di peringkat separuh akhir.

“Satu lagi perlawanan yang sukar, namun pemain kekal tabah untuk pamer kebangkitan. Saya begitu yakin dengan rakan sepasukan lain semasa sepakan penalti.

“Saya tidak ada apa-apa (masalah) dan hanya mengalami kekejangan. Pengurus membuat keputusan pantas dan Ivan Toney adalah seorang yang memiliki kemampuan sebagai pengambil sepakan penalti,” kata Kane.

Perlawanan ini juga adalah aksi ke-100 Southgate selaku pengurus England dan Kane mahu terus berusaha untuk memberikan kejayaan buat pengendali itu.

“Perlawanan ke-100 adalah pencapaian yang bagus dan saya harap mampu menghasilkan aksi ke-102 buatnya (perlawanan akhir),” jelasnya.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI