PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan sesak berikutan pertambahan kenderaan sejak petang tadi berikutan berakhirnya cuti umum sempana Awal Muharam hari ini.
Menerusi Twitter Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Trafik setakat pukul 9.50 malam, laluan tersebut dilaporkan sesak sepanjang 16 kilometer (km) menghala ke ibu negara.
“Trafik perlahan dan sesak sepanjang 10 km dari Bentong hingga Lentang termasuk 6 km bermula dari KM26 sehingga Plaza Tol Gombak,” katanya sebentar tadi.
Sementara itu, aliran trafik di LPT 1 dan 2 dilihat lancar bagi kedua-dua hala.
Terdahulu, ramai yang mengambil peluang bercuti dan pulang ke kampung sejak Jumaat lalu bagi mengisi aktiviti hujung minggu dan cuti umum sempena Awal Muharam. – KOSMO! ONLINE