PETALING JAYA – Nama menjadi sebutan ramai, pelakon Ammar Alfian menafikan dirinya sebagai selebriti lelaki yang didakwa memukul teman wanita seperti dilaporkan media hari ini.
Ammar atau nama penuhnya Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 37, menerusi ruangan komen sebuah hantaran, bertegas, dia bukanlah individu yang dimaksudkan melakukan perbuatan tersebut.
“Bukan aku,” katanya ringkas membalas pertanyaan netizen yang menyebut namanya.
Tidak berhenti di situ, pelakon filem Paskal itu turut menzahirkan kekecewaan kerana dikaitkan dengan insiden jenayah sebegitu hanya kerana memiliki wajah ‘jahat’ dan sering melakonkan watak penjenayah.
“Tahulah muka aku jahat, berlakon pun watak jahat.
“Selepas ini, produser tolong beri watak ustaz. Aku nak babak sedang solat dan baca doa menangis-nangis.
“Kamera juga perlu tunjukkan muka aku sedang menangis teresak-esak dan lagu nasyid pula sebagai muzik latar, bagi jadi,” selarnya.
Hari ini, Kosmo! Online turut melaporkan seorang wanita membuat laporan dibelasah teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6 petang, semalam.
Menurutnya, mangsa yang merupakan peniaga sudah menjalin hubungan cinta dengan suspek kira-kira lapan bulan lalu.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya selepas berlaku perselisihan faham.
“Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara,” katanya.
Difahamkan, pelakon terbabit kemudian memarahinya sebelum menumbuk pada mata kiri dan badan mangsa.
Kes disiasat di bawah 323 Kanun Keseksaan katanya.- KOSMO! ONLINE