JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Indonesia nekad meneruskan majlis perkahwinan meskipun ketika air banjir mencapai paras hampir 1 meter, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Pasangan itu, Dewi dan Sanjaya selamat diijabkabulkan di rumah pengantin lelaki di Desa Jagapura Kulon, Kabupaten Cirebon semalam.
Menurut Sanjaya, hujan lebat di kawasan itu menyebabkan air naik dengan pantas. Dia juga tidak menyangka perkara ini berlaku pada hari bahagianya.
“Pada awalnya, saya cukup sedih tetapi tanggal sudah ditetapkan dan semua sudah siap ditempah. Jadi, mahu atau tidak, majlis ini harus berlangsung pada hari ini,” kata Sanjaya.
Bagaimanapun, ahli keluarga dan tetamu undangan masih menghadiri majlis tersebut biarpun air banjir mencapai paras peha orang dewasa.
Tambah Sanjaya, kehadiran tetamu membuatkannya lebih bersemangat untuk meneruskan majlis perkahwinan mereka.
“Alhamdulillah tetamu semua datang, menjadikan saya jadi lebih bersemangat kerana mereka juga semangat untuk memastikan majlis ini berjalan dengan lancar,” tambahnya.
Pasangan pengantin baharu itu turut berkata bahawa majlis perkahwinan adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. – AGENSI