BANGKOK – Seorang pemandu yang berang, bertindak memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah kereta lain secara tiba-tiba, selepas ia dipandu perlahan di lorong paling kanan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Berdasarkan sebuah rakaman video tular, seorang wanita dikenali sebagai Aem memandu di lorong paling kanan di jalan raya di Chiang Mai.
Dia memandu sambil melihat telefon bimbit untuk menggunakan aplikasi pemetaan Google Maps.
Sebuah kereta yang mengekorinya rapat kemudian memecut dan memotong kenderaan Aem sebelum berhenti di hadapannya.
Pemandu lelaki tersebut kemudian membuka pintu kereta Aem lalu mengambil kunci kereta wanita itu dan melemparnya ke atas jalan raya.
Kolonel Polis Winichai Phinitsak dari Balai Polis Chang Phueak mengesahkan bahawa pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu dan memperoleh bukti jelas, termasuk nombor plat kenderaan pembuli.
Siasatan awal mendapati Aem menggunakan telefon bimbit semasa memandu, yang merupakan pelanggaran peraturan lalu lintas dan berada di lorong kanan ketika memandu perlahan.
Dalam masa sama, reaksi pemandu lelaki itu dianggap terlalu agresif, lapor akhbar KhaoSod.
“Menggunakan telefon bimbit semasa memandu boleh membawa kepada gangguan yang ketara, dan memandu perlahan di lorong kanan pula adalah berbahaya.
“Selain itu, tindak balas pemandu lelaki itu adalah keterlaluan dan menyalahi undang-undang, manakala perbuatannya boleh mengundang kemalangan,” kata Winichai. – AGENSI