NEW DELHI – Seorang wanita di Mumbai meraikan ulang tahun anjing peliharaannya dengan membelikan seutas rantai emas berharga 250,000 rupee (RM14,110), lapor saluran televisyen NDTV semalam.
Sarita Saldanha membawa anjingnya bernama Tiger ke butik barang kemas Anil Jewellers di Chembur untuk menyambut hari istimewa itu.
Menerusi rakaman yang dimuat naik oleh butik itu di platform Instagram, Saldanha dilihat menyarungkan rantai emas itu pada leher Tiger.
Anjing itu menggerakkan ekornya seolah-seolah teruja dengan pemberian itu.
“Untuk meraikan ulang tahun Tiger, Saldanha pergi ke Anil Jewellers dan memilih rantai emas yang menakjubkan buat haiwan peliharaannya.
“Meraikan persahabatan yang mendalam dan indah antara manusia dan haiwan,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan rata-rata netizen kagum dengan hubungan mereka.
“Benar-benar menakjubkan,” kata seorang pengguna laman sosial.
“Selamat hari lahir Tiger,” kata netizen lain. – AGENSI