KUANTAN – Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta jenis Perodua Myvi yang membelok ke kanan di Persimpangan Pantai Batu Hitam, Jalan Beserah di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian pukul 12.15 tengah malam ketika mangsa, Shariff Danish Mazlan,16, dalam perjalanan dari arah Pantai Batu Hitam menghala ke Jalan Beserah, manakala kereta dalam perjalanan dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika pemandu kereta sedang membelok ke kanan, tiba-tiba datang motosikal Yamaha 135 LC dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kereta.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan.
Katanya, mangsa yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HTAA pada pukul 1.45 pagi.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan dua hala dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan kering. – KOSMO! ONLINE