BEIJING – Seorang warga emas berusia 65 tahun ditahan polis selepas mengamuk dan memukul seorang penumpang kereta api di China, lapor saluran televisyen NDTV.
Polis Beijing berkata, lelaki itu meminta seorang gadis untuk memberikan tempat duduk kepadanya.
“Apabila gadis itu enggan, dia menjerit lalu memukul mangsa menggunakan tongkat miliknya,” kata polis.
Kejadian berlaku di laluan Beijing Subway Line 10, demikian menurut akhbar Global Times.
Menerusi klip video yang tular di media sosial, lelaki terbabit dilihat menghayunkan tongkatnya pada kaki gadis tersebut sebelum memukulnya dengan tangan.
“Sila hubungi polis, kita akan pergi ke balai polis dan anda boleh mengatakan saya mengganggu anda,” kata lelaki itu dalam video tersebut.
Perbuatan itu mengundang perhatian orang ramai dan mendapat kecaman netizen dengan seorang pengguna media sosial berkata: “Warga emas ini perlu bertenang.” – AGENSI