PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita mempersoalkan ketiadaan jawatan kosong di sebuah premis jualan pakaian dikecam orang ramai yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai kurang ajar.
Video kejadian itu dikongsikan pemilik premis pakaian tersebut pada TikTok Ummu Shanish mengenai perbualannya bersama seorang wanita yang bertanyakan peluang pekerjaan di kedainya di Johor Bahru.
“Sorry (maaf) ganggu puan, nak tanya sini ada kosong tak puan? Kenapa tak ada? Tak perlukan pekerja orang luar lah? Kenapa?,” soalnya kepada Ummu Shanish selepas dia memberitahu kepada wanita itu ketiadaan kerja kosong di tempatnya.
Ummu Shanish menjelaskan, dia sendiri yang menjaga premis jualan pakaiannya selain dibantu anak-anak.
“Memang tak ada kosong. Memang kita jaga sendiri. Sebab anak-anak pun ada. Kita balik anak-anak ‘handle’ (urus) kedai,” katanya pada video yang dimuat naik baru-baru ini.
Orang ramai menyifatkan gaya percakapan wanita yang bertanyakan jawatan kosong itu sebagai tidak sopan, kasar dan kurang ajar.
“Nak datang cari kerja, tanya macam nak gaduh,” komen seorang pengguna TikTok.
“Menyirap aku dengar ‘kenapa tak ada’,” kata individu lain.
“Kenapa dia tanya macam tu. Dah macam polis soal orang bersalah,” ujar seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE
@akakwangii Dah mcm kena soal siasat dengan polis. Padahal nk tnya keje kosong je 😂😂@Ayaa ♬ original sound – Ummu Shanish