PETALING JAYA – Anak saudara kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya mengharumkan nama negara apabila merangkul pingat emas pada pertandingan antarabangsa World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Pada pentas akhir, Umai atau nama penuhnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 13, mendendangkan lagu berjudul A Natural Woman nyanyian asal Aretha Franklin, sekali gus berjaya menewaskan empat lagi finalis lain termasuk dari Emiriah Arab Bersatu dan Afrika Selatan.
Menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram, Umai yang juga anak kepada penyanyi, Siti Saerah menerima hadiah berupa trofi.
Kejayaan membanggakan itu turut dikongsi Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 45, yang berbangga melihat anak saudaranya itu berjaya membawa pulang pingat emas dan mengharumkan nama negara.
“Alhamdullillah, tahniah Umai berjaya membawa pulang pingat emas dan harumkan nama negara,” kata pelantun lagu Cindai itu ringkas.
Terdahulu, pada saringan pertama Umai bersaing dalam lima kategori iaitu Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety sebelum berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir menerusi kategori R&B.
Dia kemudiannya mara ke peringkat akhir bagi kategori 13 hingga 15 tahun.
Antara penyanyi hebat tanah air yang pernah meraih kejayaan di pentas WCOPA termasuklah Noryn Aziz, Aina Abdul dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin. – KOSMO! ONLINE