BATU GAJAH – Seorang wanita maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kampung Batu Tiga, Tanjung Tualang di sini pada pukul 7.57 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan maut itu melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta Toyota Corona dan sebuah kereta jenis Honda.
“Terdapat tiga orang mangsa, seorang mangsa perempuan yang membawa Toyota telah tersepit dan maut di lokasi kejadian sementara dua lagi masing-masing seorang lelaki dan wanita hanya mengalami kecederaan ringan.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit yang kemudian diserahkan pada polis,” katanya di sini malam tadi. – KOSMO! ONLINE