fbpx

PRK Sungai Bakap: Pengundi warga emas antara terawal buang undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengundi warga emas antara yang terawal hadir di pusat pengundian SK Sungai Duri pada PRK DUN Sungai Bakap, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Suasana di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di sini pagi ini mula dihadiri kira-kira 100 pengundi bagi melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Kesemua mereka dilihat tiba seawal pukul 7.30 pagi sebelum pusat pengundian itu dibuka pada pukul 8 pagi tadi.

Tinjauan Kosmo! di sini mendapati, golongan warga emas antara yang terawal tiba di pusat pengundian di sini diikuti pengundi dewasa.

Calon dari Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, 56, tiba di SK Sungai Duri bagi menunaikan tanggungjawab pada pukul 8.13 pagi tadi.

Pada PRK Sungai Bakap, calon dari Pakatan Harapan, Dr. Joohari Ariffin, 60, tidak turun mengundi kerana merupakan pengundi di DUN Sungai Acheh, juga kawasan di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Pada pilihan raya ini, seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) baharu DUN itu, hari ini.

Terdapat sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran yang dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang nanti.

Selain SK Sungai Duri, lapan lagi lokasi pusat pengundian adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

PRK ini dijangka sengit memandangkan Dr. Joohari mewakili Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) dalam misi merampas kembali kerusi yang pernah dimenangi parti itu selama tiga penggal dari 2008, sebelum jatuh ke tangan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff akibat keradangan dalam perut, pada 24 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI