SEBERANG PERAI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin berlapang dada dengan keputusan pengundi memilih calon daripada Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail sebagai wakil rakyat baharu kawasan itu.
Dr. Joohari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Joo berkata, keputusan PRK itu juga adalah satu isyarat daripada rakyat untuk gabungan PH dan juga kerajaan Perpaduan.
“Saya percaya rakyat telah cerdik dalam membuat keputusan mereka, cuma pada masa depan kita harapkan rakyat membuat pertimbangan yang betul berdasarkan penilaian mereka daripada semua sudut,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH, di sini malam ini.
Menurutnya, kempen dan jentera PH bersama gabungan kerajaan Perpaduan juga telah menjalankan kempen yang penuh dengan akhlak dan adab serta mengelak daripada menfitnah parti lawan.
”Saya rasakan ini adalah PRK terbaik yang dilaksanakan daripada PH dan kerajaan Perpaduan, jentera-jentera menjalankan kerjasama yang baik. Serangan secara menghasut, fitnah kami elakkan, kami berjaya lakukan kempen dengan penuh beradab,” katanya. -KOSMO! ONLINE