fbpx

PRK Sungai Bakap: 50kg durian Relau licin dalam 3 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gerai durian Abidin di Jalan Sungai Duri menjadi tumpuan pengundi dan petugas kempen PRK DUN Sungai Bakap, hari ini. - Foto oleh NOOR HASLIZA NUSI/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Durian Relau dikatakan menjadi antara raja buah paling popular dalam kalangan penggemar terdiri pengundi dan petugas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, hari ini.

Peniaga, Zainal Idris, 55, berkata, dia tidak menyangka 50 kilogram (kg) durian jenis kahwin dan kampung itu laris dalam tempoh kurang tiga jam, sejurus gerainya di tepi Jalan Sungai Duri di sini dibuka pada pukul 10 pagi tadi.

Menurutnya, kira-kira 10 pelanggan baharu singgah di gerai yang diusahakannya itu dengan majoritinya membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Memang tak sangka dengan sambutan yang diterima daripada pelanggan terdiri pengundi dan petugas kempen pilihan raya pada kali ini.

“Mereka bukan datang membeli dua atau tiga biji tetapi lebih daripada 10 biji termasuk buah yang dilelong di dalam raga pada harga serendah RM8 sehingga RM30 sebakul.

“Sebelum ini, kurang daripada 20kg durian sahaja yang mampu dijual dalam tempoh sehari. Hari ini jualannya dilihat berganda berbanding hari biasa,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Harga bagi buah durian kahwin dijual RM18 sekilogram manakala durian kampung pula pada RM8 sekilogram.

Akui bapa kepada 10 orang anak itu lagi, PRK DUN Sungai Bakap sememangnya memberi peluang kepada para peniaga di tepi jalan kawasan ini menambah pendapatan harian mereka.

“Kami ibaratkan pilihan raya ini sebagai durian runtuh buat peniaga. Memang dapat sambutan luar biasa daripada orang luar khusunya.

Sementara itu, seorang peniaga nasi campur di Jalan Sungai Duri, Shuhada Ramli 37, pula memberitahu, perniagaan yang diusahakan sejak 15 tahun itu turut dikunjungi ramai pelanggan sejak pukul 5 pagi tadi.

“Semua 10 jenis lauk yang disediakan sejak pagi tadi licin sebelum pukul 1 tengah hari. Memang hari ini tak menang tangan kami di dapur.

“Selain nasi, ramai juga pelanggan datang membeli minuman. Hari ini sahaja, sebanyak 10 beg ais telah dibeli berbanding hanya enam beg pada hari biasa,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI