JAKARTA – Perbuatan sepasang pengantin baharu di Indonesia yang memasang papan iklan gergasi bagi mengelakkan tetamu daripada sesat mengundang perhatian orang ramai, lapor saluran berita Wolipop semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @nenggg_mc, papan iklan tersebut memiliki nama, lokasi dan gambar kedua-dua pengantin.
Perakam video itu mengakui terkejut selepas menemui iklan sebesar itu.
Dia turut menyatakan bahawa iklan seperti kad jemputan itu menyerupai iklan kempen ketika pilihan raya.
“Agak lain daripada lain pasangan ini, mungkin boleh menjadi inspirasi kepada mereka yang akan berkahwin supaya tetamu tidak sesat,” kata keterangan video.
Difahamkan, pasangan pengantin itu bernama Yusa dan Fina Damayanti, manakala majlis perkahwinan mereka berlangsung di Kota Cilegon, wilayah Banten pada 23 Jun lalu.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih 1.18 juta tontonan.
“Berapa harga untuk memasang iklan itu?” kata seorang pengguna laman sosial.
“Konsep ini boleh ditiru untuk masa depan,” kata netizen lain. – AGENSI