FOKUS tinggi dipamerkan atlet karate negara, Siti Nur Azwani Nor Azli membuahkan hasil apabila dia berjaya menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia dalam acara kumite bawah 61 kilogram (-61kg) pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024.
Pada aksi final yang berlangsung di Universitas Islam Malang (Unisma) kelmarin, dia berjaya mempertahankan pingat emas selepas mencatat kemenangan ke atas wakil Thailand, Chananchida Thamol.
Nur Azwani yang merupakan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) menyuarakan kegembiraan kerana berjaya memenangi pingat emas dalam acara itu dalam dua edisi berturut-turut.
“AUG 2024 merupakan penampilan kedua buat saya memandangkan yang pertama adalah di Thailand dua tahun lalu. Sudah tentu perasaan saya gembira kerana dapat berikan pingat emas buat Malaysia di AUG kali ini.
“Kalau mengenai pertarungan itu (final), sudah tentu sangat mencabar kerana dia merupakan lawan sama ketika beraksi di final dua tahun lalu. Jadi, sudah tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya.
Pingat emas yang diraih Nur Azwani boleh dianggap sangat bermakna memandangkan ia merupakan pingat emas pertama diraih skuad karate negara pada temasya sukan universiti Asia Tenggara itu.
Sementara itu, kemenangan yang diraih di AUG itu mampu menjadi pembakar semangat buat atlet berusia 25 tahun itu menjelang Sukan Institusi Pengajian Tinggi (Sukipt) yang dijadualkan berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) September depan.
“Selepas ini saya akan berikan sepenuh fokus untuk melakukan persiapan pada temasya Sukipt yang berlangsung pada September depan di UUM, Kedah. Saya hanya mahu kekalkan aksi terbaik,” ujar Nur Azwani.