TEHRAN – Calon reformis, Masoud Pezeshkian diumumkan menang pilihan raya Presiden Iran sekali gus menewaskan pesaingnya, dalam undian penting ketika ketengangan melanda di dalam dan luar negara itu, lapor saluran berita CNN hari ini.
Daripada 30.5 juta undi yang dikira dalam pusingan penentu semalam, Pezeshkian memenangi lebih 16.3 juta undian, mendahului pesaing ultrakonservatif, Saeed Jalili yang memperoleh lebih 13.5 juta undian.
Jumlah peratusan yang keluar mengundi adalah sebanyak 49.8 peratus, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri seperti dipetik Press TV.
Pezeshkian dipilih dalam pusingan penentu selepas memperoleh jumlah undian paling tinggi pada pusingan pertama pilihan raya Presiden, minggu lalu.
Pusingan pertama itu turut menyaksikan peratusan keluar mengundi paling rendah dalam sejarah pilihan raya Presiden negara tersebut, sejak Revolusi Islam 1979.
Pezeshkian akan menerajui negara yang menghadapi pengasingan antarabangsa yang semakin meningkat, rasa tidak puas hati dalaman, ekonomi yang meruncing dan konflik dengan musuh utamanya, Israel.
Pilihan raya mengejut itu diadakan selepas kematian presiden ultrakonservatif, Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter pada Mei lalu. – AGENSI